Ketenangan julang Liverpool di Anfield

Iklan
Mohamed Salah bersaing dengan pertahanan Bournemouth, Milos Kerkez semasa aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield -Foto: AFP

LIVERPOOL berjaya mencipta kebangkitan selepas ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan 3-1 ketika melayan kunjungan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield pada Sabtu.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan faktor ketenangan pemain The Reds yang beraksi di bawah tekanan selepas melepaskan gol pertama menjadi pendorong mereka meraih tiga mata pada perlawanan itu.

Iklan
Iklan

"Ya, kami memerlukan beberapa minit untuk mengatasinya dan tampil dengan lebih bagus. Separuh masa kedua ia berubah sepenuhnya kerana secara tiba-tiba kami bermain 10 pemain sebelum menjaringkan gol ketiga, yang merupakan detik sangat penting pada masa itu.

"Ia memberi kami tenaga. Sejujurnya perlawanan kedua yang sukar, tapi kami berjuang dan tidak bolos lagi bagi mendapat tiga mata dan itu sahaja yang saya perlukan dalam perlawanan ini,” kata Klopp.

Iklan

Gol Liverpool dalam perlawanan itu dijaringkan Mohamed Salah, Diogo Jota dan Luis Diaz yang memadamkan jaringan awal minit ketiga Antoine Semenyo.

Pada masa sama Klopp mengakui anak buahnya telah bertindak balas dengan lebih baik selepas melepaskan gol menentang Bournemouth berbanding ketika seri 1-1 menentang Chelsea pada 13 Ogos lalu.

Iklan

"Apabila kami mendapat laluan dalam gaya permainan kami bermain semua akan menjadi mudah dan tenang, itu bagus,” kata Klopp.

"Saya nampak kami tergesa-gesa ketika bolos menentang Chelsea. Namun saya tidak melihatnya hari ini. Kami menemui semula rentak dan beraksi sebagaimana yang kami mahukan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Alexis Mac Allister dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan tinggi pada minit ke-58, yang menyaksikan pemain tengah Argentina itu akan menjalani penggantungan tiga perlawanan bermula dengan perlawanan menentang Newcastle United.