JURULATIH Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa setelah skuad Gergasi Merah kalah 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Petaling Jaya pada Sabtu.
Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun itu tetap lega kerana Selangor FC berjaya mara ke suku akhir selepas menang dengan agregat 5-3 selepas kemenangan selesa 4-1 pada perlawanan pertama.
Justeru Cheng Hoe mahu para pemain bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut dan mengingatkan mereka perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan.
"Semua pemain perlu ambil tanggungjawab di atas kekalahan ini. Satu perlawanan yang cukup mengecewakan, bukan saja pada pasukan dan saya rasa setiap individu kena bertanggungjawab
"Apa yang penting kita layak ke peringkat seterusnya.
"Saya harap selepas ini para pemain perlu sedar mana-mana pasukan yang kita bertemu kena bersedia dari segi mental dan fizikal kerana pada perlawanan ini kita lihat berpihak kepada fizikal PDRM,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Dalam aksi itu, Selangor FC terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Yohandry Orozco pada minit ke-25, namun skuad The Cops menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil jaringan Nabil Latpi.
Memasuki babak kedua menyaksikan aksi seimbang kedua-dua pasukan, namun tuah memihak PDRM apabila meraih gol kemenangan di hujung permainan hasil kesilapan pertahanan Selangor, Harith Haiqal yang tertampan masuk ke gawang sendiri.
"Biarpun dapat menjaringkan gol pertama, namun kita gagal kawal tempo permainan.
"Itu sebab kita dibolosi gol pada minit-minit terakhir di mana kita sekali lagi leka daripada segi kawalan bola. Sebab itu PDRM ambik kesempatan untuk menjaringkan gol.
"Saya fikir setiap perlawanan adalah pengajaran buat kita, kena tingkatkan lagi persembahan kita apabila menentang Kelantan FC (aksi Liga Super) nanti,” ujar Cheng Hoe.