Negeri Sembilan, JDT berentap suku akhir

Iklan
Pemain Negeri Sembilan, Mahalli Jasuli (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Kelantan United pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

JUARA tiga kali Negeri Sembilan FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan United, 4-2 dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Ahad.

Kemenangan itu membolehkan skuad Rusa kendalian K Devan itu mara ke kelompok lapan terbaik dengan agregat 5-2 selepas mengatasi Kijang Hijau tersebut 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 5 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Perlawanan di laman keramat Negeri Sembilan menyaksikan angkatan Ailton dos Santos Silva terlebih dulu mengejutkan tuan rumah hasil jaringan minit ketiga sentuhan OJ Porteria.

Negeri Sembilan yang seakan bangkit dari lamunan kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Casagrande pada minit ketujuh bagi menjadikan kedudukan agregat 2-1.

Iklan

Tuan rumah yang menguasai permainan menambah dua lagi gol yang dijelmakan R Barathkumar pada minit ke-19 sebelum Hein Htet Aung menjadikan kedudukan 3-0 menerusi gol minit ke-34 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak menyaksikan beberapa insiden kekasaran berlaku semasa permainan.

Iklan

Kelantan United berjaya merapatkan defisit apabila Indra Putra Mahayuddin menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-66.

Namun usaha kelab pantai timur itu menambah jaringan akhirnya dinoktahkan Youssef Ezzejjari yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 untuk kedudukan 4-2.

Skuad Hoben Jang Hoben bakal berdepan ujian sebenar apabila berdepan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir.

Sementara itu, Kelantan United akan berjiran tertangga Kelantan FC dalam saingan Piala Cabaran.