Harimau Muda jangan ambil mudah Timor-Leste

Iklan
Barisan pemain muda negara giat menjalani latihan menjelang aksi kedua menentang Timor-Leste dalam Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Selasa.

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara perlu mengambil serius perlawanan menentang Timor-Leste dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Selasa.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, biarpun atas kertas Malaysia mampu menewaskan lawan itu, namun sikap mengambil mudah terhadap pesaing boleh mengundang padah kepada pasukan.

Iklan
Iklan

"Setiap perlawanan perlu serius. Jangan pandang rendah pasukan lawan. Fizikal mereka juga baik untuk memberi saingan kepada skuad negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Skuad Harimau Muda negara memulakan langkah kanan dalam kempen AFF kali ini setelah menundukkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023, Indonesia 2-1 pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Irfan juga percaya ketua jurulatih, E Elavarasan mempunyai strategi ampuh dalam usaha meraih kemenangan kedua, sekali gus mara ke separuh akhir.

"Para pemain beraksi baik dalam aksi pertama. Apapun mereka perlu bersiap sedia daripada aspek fizikal serta mental untuk perlawanan kedua nanti,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar pula melihat keyakinan skuad Harimau Muda kian meningkat setelah mengalahkan pasukan kuat seperti Indonesia sebelum ini.

Beliau berkata, Elavarasan sudah belajar daripada kesilapan pada Sukan SEA lalu apabila dapat membentuk pasukan yang mantap kali ini.

"Coach Ela menunjukkan peningkatan yang baik. Berjaya beri keyakinan kepada skuad. Percaturan dalam latihan diterap dengan baik oleh pemain,” jelasnya.

Azlan turut mengingatkan skuad muda negara bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak termasuk elemen kejutan.

"Para pemain Timor-Leste pasti akan beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk memberi tentangan sengit kepada Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kuat.

"Apapun berdasarkan kepada aksi pertama, Malaysia mampu menewaskan Timor-Leste,” katanya.

Jika berdasarkan rekod, tiada masalah buat skuad negara melepasi halangan tersebut kerana tidak pernah tewas kepada Timor-Leste sejak Sukan SEA 2009.

Kali terakhir Malaysia menentang Timor-Leste adalah pada Sukan SEA 2019 apabila skuad negara menang 4-0.

Kemenangan terbesar skuad negara adalah ketika membelasah Timor-Leste 11-0 pada Sukan SEA 2015 di Singapura.