Amirudin angkat sumpah MB Selangor

Iklan
Amirudin mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pada Isnin.

KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pada Isnin.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang bermula jam 11.00 pagi.

Iklan
Iklan

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam majlis itu, Amirudin yang dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Iklan

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu dan mematuhi arahan sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab.

Iklan

Beliau turut berikrar untuk mendahulukan rakyat, memastikan kemakmuran negeri itu di tahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.