UMNO Bukit Bendera sokong Zahid kekal presiden parti

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Bernama

GEORGETOWN - Tidak wajar hanya meletakkan kesalahan di bahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan kekalahan besar dialami Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Sebaliknya, semua pihak perlu bertanggungjawab dan kembali membina semula parti serta tidak terpengaruh dengan ‘orang luar’ yang cuba menjatuhkan UMNO dan BN.

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata, budaya buruk mendesak pimpinan tertinggi parti meletak jawatan perlu dihentikan kerana ia tidak menyelesaikan masalah sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan.

Jelasnya, UMNO bahagian itu, akan terus istiqamah dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ahmad Zahid untuk menerajui parti.

Iklan

"Kami semua sependapat dan sebulat suara menyatakan keputusan ahli jawatankuasa empat peringkat UMNO bahagian Bukit Bendera bahawa kami akan tetap berdiri teguh dan kukuh bersama dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membina semula dan membangkitkan UMNO menjadi satu wadah perjuangan yang boleh diterima.

"Kita istiqamah pertahankan institusi presiden sehabis baik. Kita juga faham bahawasanya UMNO hari ini terlalu banyak dengar cakap ‘orang luar’, ‘orang luar’ yang nak Zahid turun kerana mereka tahu kalau Zahid turun, mudah bagi mereka untuk masuk dalam UMNO dan mencari matlamat utama mereka yang mahu membunuh UMNO,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di pejabat UMNO Bahagian Bukit Bendera di sini, hari ini.

Iklan

Sementara itu, Ahmad meminta ahli UMNO supaya membuka mata melihat apakah ahli parti lawan meminta pimpinan mereka meletakkan jawatan sewaktu kekalahan parti mereka sebagaimana yang dilakukan UMNO ketika ini.

Malah beliau turut membidas pihak lawan yang didakwa cuba mencampuri urusan dalaman UMNO dan menasihatkan mereka supaya menjaga parti sendiri.

"Apakah dalam UMNO ini hanya (ada) presiden? Dan apakah presiden seorang yang perlu bertanggungjawab semua? Sedangkan bila ada kemenangan bagaimana dengan tempat yang kita pernah menang?

"Tak usahlah mahu meminta (Presiden) UMNO letak jawatan, kita ada acara kita, kita ada rumah, kami jaga rumah kami, hangpa jaga rumah hangpa, dan pada saya semua perlu harus bertanggungjawab bukan presiden seorang dan kita tahu presiden kami seorang yang bertanggungjawab...” tambah Ahmad.

Keputusan PRN di enam negeri menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi.

BN hanya menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan. - Awani