KOMBINASI efektif dalam kalangan pemain Sri Pahang FC disifatkan sebagai faktor kemenangan 2-0 ke atas Harini FT di Stadium Darul Makmur pada Ahad.
Keputusan perlawanan kedua pusingan 16 di Kuantan itu sekali gus menyaksikan Tok Gajah mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2, ekoran kemenangan 3-2 pada aksi pertama di Paroi, sebelum ini.
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui berpuas hati prestasi dipamerkan angkatan Tok Gajah kendaliannya yang menterjemahkan perancangan semasa latihan dengan baik khasnya semasa separuh kedua perlawanan.
"Apa yang kita berlatih, itulah yang dilakukan pemain iaitu perancangan melakukan serangan dari bahagian sayap yang hasilnya membolehkan kita memperoleh dua gol.
"Bukan senang untuk berhadapan sebuah pasukan yang memiliki semangat juang tinggi, yang juga bermain dengan agak keras, tetapi syukur kerana pemain kita agak tenang dengan situasi di padang,” katanya legenda bola sepak Singapura tersebut.
Terdahulu, Kpah Sherman muncul wira Tok Gajah, apabila meledakkan kedua-dua jaringan pada minit ke-42 dan ke-51 sekaligus menutup terus pintu kemaraan kelab Liga M3 tersebut.
Dalam pada itu, pengendali Harini FT P Maniam tenang secara terbuka menerima kekalahan tersebut apabila mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki kelab tersebut.
"Ya, separuh masa pertama kita bertahan dengan baik sambil melakukan serangan balas, selain mendapat satu peluang menjaringkan gol. Namun kita melakukan kesilapan sehingga membolehkan Pahang menjaringkan gol.
"Saya percaya sekiranya kita berjaya menghasilkan gol, ia dapat memberi lebih tekanan kepada Pahang.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana mempunyai taktikal yang baik apabila hanya bolos dua gol kepada pasukan yang berada pada tahap berbeza,” katanya.