Pesara SAMB maut, motosikal berlanggar kereta guru

Iklan
Mangsa, Yusup Kasim (gambar kecil) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

ALOR GAJAH - Dua guru dalam perjalanan ke sekolah berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal Honda Dash di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, pada Isnin.

Kejadian jam 7.10 pagi itu turut menyebabkan penunggang motosikal, Yusup Kasim, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang merupakan pesara Syarikat Ayer Melaka Berhad (SAMB) yang beralamat di Kampung Belimbing Dalam dalam perjalanan dari arah Pekan Durian Tunggal menghala ke arah Gangsa.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Iklan

Katanya, pada masa sama sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dari arah Gangsa tidak dapat mengelak menyebabkan motosikal mangsa bergesel di bahagian kanan kenderaan yang dipandu guru wanita berusia 48 tahun.

Perodua Alza yang bergesel dengan motosikal mangsa dalam kemalangan di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal pada Isnin.

"Akibat daripada itu, motosikal mangsa turut berlanggar dengan sebuah lagi kereta Perodua Myvi dipandu seorang guru wanita berusia 38 tahun yang berada di belakang MPV itu.

Iklan

"Selepas perlanggaran berlaku, penunggang motosikal tercampak masuk ke laluannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum jenazah dituntut waris keluarga.

"Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Kedua-dua guru terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.