PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan yang dibuat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dan menegaskan badan induk itu telah sedaya upaya membantu menguruskan permohonan untuk mendaftarkan pemain import The Red Warriors (TRW).
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham tidak seharusnya menyalahkan FAM kerana fakta jelas menunjukkan bahawa TRW sudah melewati tempoh masa pendaftaran yang ditetapkan pada 1 Ogos.
Menurutnya, FAM juga telah membantu membuat rayuan kepada FIFA untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain Kelantan FC selepas kelab itu mendakwa menghadapi masalah 'Transfer Matching System' (TMS).
Namun, beliau berkata, FIFA telah menolak rayuan tersebut dan FAM telah menghantar surat pemakluman kepada Kelantan FC.
"Prinsip undang-undang mengenai pendaftaran pemain ini adalah bersifat seragam, universal dan adalah diguna pakai untuk sistem perpindahan antarabangsa dalam bola sepak.
"Surat jawapan tersebut telah dihantar oleh FAM kepada Kelantan FC untuk pemakluman. Surat daripada FIFA tersebut telah memberikan jawapan yang tegas, terang dan jelas bahawa Kelantan FC adalah tidak dibenarkan lagi untuk mendaftarkan pemain-pemain asing pada musim 2023 ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Zamsaham meluahkan kekecewaan selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia pada Sabtu.
Beliau berkata, Kelantan FC tidak akan kalah dengan teruk sekiranya empat pemain import baharu mereka dapat didaftarkan pada jendela perpindahan pemain yang lalu dan menyalahkan FAM atas kegagalan pendaftaran itu.
"Sikap double standard (pilih kasih) sesetengah pegawai FAM terhadap TRW Kelantan FC sangat mengecewakan saya," kata Zamsaham.
ARTIKEL BERKAITAN: Norizam mohon maaf kepada peminat Kelantan
Peguam dari Johor minat beli Kelantan FC
Kelantan tak mampu tandingi kepantasan JDT
'Kalau tak suka TRW, jumpa saya' - Zamsaham
Gagal daftar pemain import bukan sebab kes FIFA - Zamsaham