ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah berjaya melumpuhkan sindiket pemburuan haram hidupan liar di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik yang beroperasi lebih 10 tahun selepas memberkas enam pemburu dalam satu serbuan serentak di lokasi berlainan di sekitar daerah itu pada Jumaat lalu.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, tangkapan individu berusia 40 hingga 63 tahun yang merupakan penduduk tempatan diyakini turut melumpuhkan aktiviti haram itu serta rangkaian-rangkaiannya di sekitar kawasan perkampungan berhampiran hutan simpan tersebut.
Menurutnya, dalam serbuan pada jam 1 pagi yang dinamakan Ops Hunter itu, rampasan hidupan liar turut dilakukan dan nilai dianggarkan berjumlah RM103,350.
"Anggota kami berjaya menahan enam lelaki tebabit di rumah masing-masing di sekitar kawasan Sik dan mereka dipercayai menjadikan aktiviti pemburan haram ini sebagai sumber pendapatan utama dengan menjalankan aktiviti urusniaga hasil buruan hidupan liar.
"Mereka dipercayai menjual daging atau tanduk serta apa jua bahagian haiwan yang diburu itu kepada pelanggan tempatan dengan harga lumayan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Kedah, Anak Bukit, dekat sini pada Isnin.
Jamalun Nasir berkata, operasi khas tersebut melibatkan 20 anggota Jabatan Perhilitan, 20 anggota Wildlife Crime Bureau (WCB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 anggota daripada 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta,Perak.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati, kumpulan tersebut dipercayai mempromosikan daging haiwan terancam tersebut melalui kumpulan WhatsApp individu tertentu.
"Mereka masuk ke hutan memburu haiwan berkenaan menggunakan senapang, busur dan anak panah sebelum memproses daging kijang, rusa dan pelanduk di sebuah pondok dalam hutan tersebut," ujar beliau.
Tambahnya, semua daging haiwan terancam ini akan disejuk beku sebelum dijual kepada pelanggan yang dipercayai sahaja bagi mengelakkan kegiatan tersebut dihidu pihak berkuasa.
Turut dirampas dalam Ops Hunter itu adalah beberapa ekor spesis burung dilindungi termasuk beberapa laras senapang, busur dan anak panah yang digunakan dalam aktiviti haram.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646).
"Bagi Seksyen 60(1), jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Seksyen 68(1)(a), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.
Dalam pada itu, tiga daripada enam suspek terbabit juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 disebabkan kemungkinan aktiviti pemburan haram hidupan liar menjadi sumber pendapatan utama suspek.