BANGI - UMNO sudah membuat dapatan mengenai kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu telah dibuat di peringkat negeri dan sayap parti dan sedang dikumpulkan untuk dibentangkan di peringkat parti.
"Saya percaya tiap-tiap negeri (terbabit PRN) dan sayap sedang melakukan perkara itu sebelum kita kumpulkan (dapatan).
"Lagipun kita sedang juga beri fokus untuk membantu PH di PRK Pulai dan Simpang Jeram, jadi mungkin perkara ini dibuat tapi tidak diberikan liputan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Debat Perdana Madani 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Isnin.
Khaled berkata demikian menjawab pertanyaan media sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan 'post-mortem' atas kekalahan teruk di PRN, minggu lalu.
Pada PRN di enam negeri, Barisan Nasional (BN)-UMNO hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 DUN yang dipertandingkan.
Di Kedah dan Terengganu, BN gagal memperoleh satu kerusi pun.
Di Selangor dan Pulau Pinang, BN hanya menang dua kerusi dan di Kelantan satu kerusi sahaja dimenangi.
BN hanya memperoleh kerusi di Negeri Sembilan apabila menang 14 kerusi dari 17 yang dipertaruhkan.
Setakat ini, hanya Pemuda UMNO sahaja yang sudah selesai melaksanakan ‘post-mortem’ terhadap prestasi buruk parti tersebut ketika PRN.
Ketua Pemudanya, Dr. Muhammad Akmal Saleh pada pertemuan dengan sayap Pemuda seluruh negara, Selasa lalu memberi jaminan akan meletakkan jawatannya sekiranya keputusan ‘post-mortem’ mendapati kedudukannya di jawatan tersebut menjadi punca prestasi buruk UMNO.