KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, rakyat perlu sentiasa didahulukan, diutamakan dan dibela di dalam segala aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan.
Baginda bertitah selepas berkenan mencemar duli hadir pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang pada Isnin.
Menurut baginda, sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, rakyat telah memilih ahli-ahli yang berhormat bagi mentadbir negara dan negeri-negeri dengan harapan agar pemimpin dipilih ini mengutamakan agenda kemakmuran rakyat agar kekayaan negara dapat dinikmati bersama dan rakyat dapat hidup dengan selesa, makmur sehingga ke generasi akan datang.
"Oleh itu keperluan asas rakyat, pemulihan ekonomi rakyat dan kos sara hidup perlu sentiasa dititikberatkan agar mereka tidak terus dibebani dengan kemelut kemelesetan ekonomi yang begitu mencabar sekarang ini.
"Kerajaan yang dibentuk hari ini perlu segera mengatasi segala kepincangan yang ada dalam kehidupan rakyat negeri Selangor ini khususnya dari segi infrastruktur dan pembangunan.
"Adalah menjadi keutamaan beta agar pihak kerajaan menyelesaikan segera masalah berkaitan kehidupan harian rakyat," titah Sultan Selangor.
Pada masa sama, Sultan Selangor turut memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor yang telah menyusahkan kehidupan rakyat baginda.
Titah baginda, rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.
"Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik.
"Sedarkah kita bahawa sejak kebelakangan ini, negeri Selangor telah mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan jika dibandingkan dengan negeri Pulau Pinang, Johor malah negeri Sarawak.
"Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya," titah baginda.
Titah Sultan Selangor lagi, ahli-ahli yang berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti itu dan satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi negeri Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.
Baginda menaruh harapan yang tinggi untuk ahli-ahli yang berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan.
"Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar. Bangunlah ahli-ahli yang berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
"Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu.
"Usia beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian beta, agar sebelum beta menutup mata dan dijemput llahi, beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran yang berpanjangan," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menasihati agar integriti ahli-ahli yang berhormat perlu sentiasa dipelihara.
"Walaupun perkara ini telah sering beta ingatkan pada setiap kali ucapan beta di mana-mana jua, namun beta merasakan perkara ini perlu diulangi bagi mengingatkan ahli-ahli yang berhormat tentang kepentingan menjaga integriti.
"Jauhilah diri dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negerl.
"Beta juga ingin menyentuh tentang insiden-insiden yang melibatkan penggunaan kata-kata kesat dan biadab yang dilemparkan oleh segolongan kelompok masyarakat, ahli- ahli politik, tidak ketinggalan segelintir pemimpin- pemimpin parti politik ketika berkempen dengan mengheret Institusi Raja ke dalam ceramah-ceramah mereka.
"Keadaan yang berlaku ini menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terthadap Institusi Raja dan kesultanan melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.
"Sikap biadab mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara," titah Sultan Selangor.