PUTRAJAYA - Dua laporan polis dibuat terhadap pengendali saluran YouTube susulan menyiarkan kandungan video tohmahan terhadap hakim dan peguam syarie.
Laporan itu dibuat oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, pada Isnin.
Presiden PPSM, Abu Suffian Abu Yaziz ketika ditemui pemberita berkata, kandungan video tersebut dibuat oleh seorang lelaki dalam satu program mengenai salah laku tidak bermoral membabitkan hakim dan peguam syarie yang didakwa bertukar-tukar pasangan selepas melakukan aktiviti motosikal berkumpulan.
Menurutnya, tohmahan tersebut tidak berasas sama sekali kerana tidak disokong oleh sebarang bukti kukuh mengikut saluran undang-undang.
"Ia juga memberi naratif yang tidak baik kepada masyarakat sivil dan seolah-olah mahu menyedapkan cerita untuk tujuan meraih publisiti murahan dan berbaur fitnah ke atas pegawai syariah termasuklah hakim syarie dan peguam syarie," ujar beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PGSM, Moez Basri menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya salah laku yang didakwa adalah benar.
"Jika terbukti (benar) kami tidak ada masalah untuk mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa terlibat.
"Adalah tidak adil membuat tuduhan semberono," katanya.
Menurutnya, pihak mereka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara sama.
"Kami harap tindakan diambil ke atas pengendali saluran YouTube tersebut kerana ia telah mencemarkan nama institusi kehakiman dan syariah," tegas beliau.
Sementara itu, semakan Sinar Harian terhadap saluran YouTube tersebut mendapati kandungan yang dimaksudkan masih dipaparkan.
Kandungan tersebut dimuat naik pada Sabtu lalu telah memperoleh lebih 89,000 view dan 1.9 ribu tanda suka.