KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur tindakan segelintir pihak dan individu tertentu termasuk pemimpin politik yang menggunakan kata-kata kesat dan biadab ketika berkempen dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah mereka.
Baginda bertitah, keadaan yang berlaku itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.
"Sikap biadab mereka ini melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara."Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.
"Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang," titah baginda.
Baginda bertitah selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang pada Isnin.
Baginda turut menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.
"Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.
"Beta perhatikan, politik sudah banyak memecahbelahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.
"Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir," titah baginda.
Baginda bertitah, pilihan raya sudah selesai dan mengajak semua pihak bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.
"Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.
"Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.
"Gunakanlah platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat," titah baginda.
Baginda mengakhiri titahnya dengan mendoakan agar seluruh rakyat dijauhi sebarang musibah dan rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam harmoni dan aman damai.
"Adalah menjadi harapan beta agar negeri Selangor yang dikasihi ini akan terus maju dan kerajaannya konsisten di dalam menangani masalah rakyat dan melaksanakan segala aspirasi rakyat," katanya.