Warga Jepun mengaku tak bersalah cederakan teman wanita

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik restoran warga Jepun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap teman wanita senegaranya, dua bulan lalu.

Tertuduh, Shozo Kamizato, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Gomi Mikiko, 30, dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di sebuah rumah di Kepong, di sini pada jam 2 pagi, 14 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM4,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam Azman Aziz, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tinggal di negara ini selama 12 tahun.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan perlu melapor di balai polis terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan kes. - Bernama