SELEPAS memberi kejutan menghadiahkan isterinya, Wawa Zainal dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Brabus 900 Rocket Edition tiga hari lalu, pelakon Aeril Zafrel memberi kejutan buat anaknya, Hayla Maghfiratul Adzkiya.
Istimewanya kejutan itu dibuat sempena hari jadi Hayla yang ke-8.
"Hari itu, nampak video kejutan mak dia. Dia pun nak juga. Maaflah ini sahaja yang ayah boleh buat.
"Dah tak ada idea dah nak buat apa. Selamat ulang tahun Hayla Adzkiya," kongsi Aeril.
Menerusi video yang dikongsikan menerusi akaun Instagramnya, Aeril membawa Hayla keluar berdua dan melayannya makan, membeli hadiah, melakukan rawatan kuku, membawa menaiki helikopter serta terakhir membawanya menaiki kereta pacuan empat roda dengan tema Barbie bagi meraikan hari jadi Hayla bersama keluarga dan teman-teman.
Rata-rata pengikut sosial media Aeril dan Wawa turut sama tersentuh melihat usaha pelakon berusia 35 tahun itu menggembirakan hati anaknya.
"Masya-ALLAH. Alhamdulillah... Semoga rezeki Aeril Zafrel melimpah ruah kerana selalu memanjakan isteri dan anak-anak. Terima kasih kerana memberi layanan yang terbaik dan memberi contoh serta inspirasi buat para bapa di luar sana agar sentiasa berusaha nak membahagiakan keuarga tercinta. Moga berbahagia selalu dunia akhirat Aeril dan Wawa serta terus success dalam business," tulis seorang pengguna media sosial bernama Yanna Saadon.
Tidak kurang juga yang merasakan Hayla bertuah kerana dikurniakan ayah yang berkemampuan seperti Aeril yang dapat memberi kemewahan dan melayannya dengan baik sekali.
Terdahulu, Aeril menghadiahkan Wawa kereta pacuan empat roda jenis Brabus 900 Rocket Edition yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta.
Momen penuh bermakna tersebut dikongsi Aeril atau nama sebenar Suhairil Sunari menerusi laman sosial dan memaklumkan kenderaan berkenaan sudah lama menjadi idaman suri hatinya.
"Akhirnya dapat juga hadiahkan si oren ini untuk dia. Kalau marah marah lagi tak tahulah aku, ‘sweet’ tak saya?” tulisnya bersama sebuah video pendek sepanjang momen kejutan itu.