Mahsuri seru rakyat Malaysia bersatu hati, hindari rasuah

Iklan
Mohd Jazri (dua dari kiri) dan Ketua Perhubungan Kerajaan dan Pembangunan Masyarakat Mahsuri Food Sdn Bhd, Lailah Che Mohd Daris (dua dari kanan) bergambar bersama staf mereka.

BANDAR ENSTEK - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini, syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) yang turut bersama membarakan kempen #SaySomethingNice menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati menggemakan semangat patriotik, di samping menyebarkan nilai-nilai murni dan positif.

Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya menyambut baik kempen berkenaan yang antara lain sangat digalakkan untuk disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kempen ini bagi saya amat baik, ia hadir tepat pada masanya pada saat bulan kemerdekaan tiba.

"Sesuatu yang baik harus disokong, ucaplah perkara-perkara baik dan positif, dan saya juga ingin mengingatkan kepada kita semua supaya turut merdekakan diri kita daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Beliau ditemui di pejabat urusan harian Mahsuri Dagang, di sini, pada Isnin.

Kempen ini dijalankan untuk menggalakkan rakyat Malaysia berkata sesuatu yang positif antara satu sama lain dan juga negara ini.

Iklan

#SaySomethingNice merupakan kempen bersahaja namun orang ramai boleh menggunakan kreativiti masing-masing untuk melibatkan diri dalam aktiviti harian mereka.

Dalam pada itu, Mohd Jazril turut berbesar hati menjalin kerjasama dengan Rasuah Busters dalam mengangkat kempen antirasuah di negara ini.

Katanya, kempen antirasuah yang dirintis oleh Rasuah Busters selari dengan piagam syarikat mereka.

"Pihak kami amat bersetuju dan mengalu-alukan gerakan ini demi kebaikan masyarakat kita, ia perlu bermula dari individu dan jika kita tidak membendung perkara ini (amalan rasuah) ia boleh merebak kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

"Jadi misi Rasuah Busters ini seperti membangunkan sistem nilai dan juga misi gerakan dari rakyat untuk rakyat bagi memulih dan membentuk satu transformasi integriti Malaysia dengan menghapuskan kereputan akhlak ini, adalah sejajar dengan amalan antirasuah syarikat kami," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Jazril berkata, syarikat mereka amat peka tentang kerosakan yang dibawa oleh amalan rasuah ini, oleh demikian, syarikat memperkenalkan pelbagai pendekatan bagi mengekang perbuatan berkenaan.

"Kami sebagai sebuah syarikat yang bertapak di Malaysia, sudah lama mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) antirasuah sebenarnya, sebagai contoh untuk semua staf baharu kami, mereka akan melalui satu kursus induksi berkenaan rasuah.

"Selain itu kami menetapkan sebagai contoh mereka hanya boleh menerima nilai RM50 sahaja, hadiah atau dari segi bentuk apa sahaja, lebih mereka kena umum, jika mereka berurusan dengan vendor-vendor kami. Jadi kami sentiasa ingatkan staf kami jangan ambil mudah tentang rasuah," katanya.

Tambahnya, bagi mengelak perbuatan rasuah berlaku, pihaknya juga senantiasa menggandakan usaha dengan memperbaharui sistem nilai terhadap pekerja-pekerja mereka.

"Seperti staf-staf sedia ada, setiap tahun mereka dipanggil untuk melakukan latihan (tentang korupsi), lawan rasuah dan setiap tahun mereka diwajibkan menjalani kursus bagi mengingatkan staf tentang polisi antirasuah kami," tegasnya.