PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya melepasi halangan pertama dengan mengejutkan wakil Indonesia, Jonatan Christie pada Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark pada Isnin.
Pemain Malaysia di ranking ke-13 dunia itu memerlukan 39 minit untuk menyingkirkan pemain nombor lima dunia itu 21-13, 21-15 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Royal Arena.
Zii Jia dijangka tidak menghadapi masalah apabila dijadual berdepan pemain di ranking lebih rendah Brian Yang (ranking ke-27 dunia) dari Kanada pada pusingan kedua.
Sementara itu, pemain perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei mengambil masa 30 minit untuk menundukkan pencabar dari Hungary Vivien Sandorhazi 21-18, 21-15 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu, bagaimanapun berdepan laluan sukar apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia An Se Young dari Korea Selatan esok.
Nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil wanita negara S. Kisona yang tewas kepada pemain Taiwan Pai Yu Po 22-20, 19-21, 13-21.
Esok lima lagi wakil negara akan membuat perhitungan pada pusingan pertama iaitu beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun; dua beregu wanita Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing dan Vivian Hoo- Lim Chiew Sien; serta dua beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Bernama