PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyifatkan kemenangan ke atas pemain berprestasi tinggi dari Indonesia, Jonatan Christie penting untuk membina semula jajaran keyakinannya dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenghagen, Denmark.
"Ya, kemenangan ini merupakan sesuatu yang saya perlukan bagi membantu meningkatkan tahap keyakinan bagi perlawanan seterusnya.
"Sepanjang perlawanan tadi, saya beritahu kepada diri, tidak kira berapa mata pun Jonatan mendahului, saya perlu terus berjuang," kata Zii Jia selepas perlawanan di Royal Arena.
Pada Isnin, Zii Jia pemain ranking ke-13 dunia dari Alor Setar Kedah itu menyingkirkan Jonatan yang berstatus nombor lima dunia straight set 21-13, 21-15 dalam perlawanan pusingan pertama yang mengambil masa 39 minit.
Zii Jia akan bertemu pemain dari Kanada, Brian Yang bagi pemburuan slot ke pusingan ketiga pada Rabu ini.
Sementara itu, Jonatan mengakui kecewa dan sukar menerima kekalahan mengejut kepada Zii Jia.
"Tentu saya kecewa dengan keputusan ini. Yang masih ada di kepala itu rasa kecewa. Saya masih susah untuk mencerna kekalahan tadi. Saya salah apa atau kurang apa. Rasanya belum mampu dijelaskan kenapa saya kalah dan permainan saya tidak seperti sebelum ini.
"Strategi saya memang tidak berapa menjadi sebaliknya pola permainan lawan lebih menjadi dalam perlawanan ini.
"Ketika unggul dalam memperoleh mata, saya tidak konsisten menjaga pendahuluan. Malah saya terikut pola permainan lawan," katanya.