SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara tetap memburu kemenangan ke atas Timor Leste walaupun sedar keputusan seri sudah memadai untuk muncul juara Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong, Thailand pada Selasa.
Kapten skuad Harimau Muda, Aiman Afif percaya rentak kemenangan harus dikekalkan, sekali gus menjadi motivasi berharga dalam merealisasikan impian mara ke final dan menjuarai kejohanan itu.
"Bagi saya perlawanan menentang Indonesia sebelum ini sebagai satu langkah kanan untuk kami. Jadi kami perlu teruskan momentum kemenangan apabila berdepan Timor-Leste.
"Bagaimanapun, kami tidak boleh pandang mudah keupayaan Timor-Leste dan kami perlu pastikan bermain lebih baik untuk meraih tiga mata nanti,” katanya pada Isnin.
Pada perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Rayong Provincial Jumaat lalu, skuad Harimau Muda melakar kejutan menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Indonesia 2-1.
Malaysia dilihat berada pada tahap terbaik menamatkan aksi kumpulan dengan cemerlang, namun perlu berhati-hati dengan muslihat Timor-Leste, apatah lagi mereka berjaya memberikan saingan sengit dan hanya tewas tipis 0-1 kepada Indonesia pada Ahad.
Skuad negara kini menerajui Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata dalam memburu tempat ke separuh akhir yang hanya akan diisi tiga juara setiap kumpulan bersama-sama satu wakil naib juara terbaik.
Dalam pada itu, pertahanan Harimau Muda, Ubaidullah Shamsul yakin keserasian antara para pemain sudah semakin baik walaupun hanya sempat berlatih dalam waktu singkat sebelum menyertai kejohanan tersebut.
"Persiapan menentang Timor-Leste berjalan seperti biasa dan saya boleh katakan semua pemain sangat bersemangat ketika ini. Insya-ALLAH kita akan beri yang terbaik.
"Persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan juga makin baik walaupuan kita berlatih singkat. Tetapi itu satu cabaran untuk kita semua dan ia bukan satu masalah besar,” ujarnya.