Sinetron politik negara gajah putih

Iklan
Sudah tiga bulan Thailand dilanda kemelut politik yang menyaksikan kerajaan baharu gagal ditubuhkan hingga kini.

SEDAR tak sedar, sudah tiga bulan Thailand dilanda kemelut politik yang menyaksikan kerajaan baharu gagal ditubuhkan hingga kini.

Seperti sudah dapat dijangka, kemenangan Parti Move Forward (MFP) sewaktu Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu jelas hanya wayang untuk menyedapkan hati rakyat terutamanya gerakan prodemokrasi yang tidak lelah memperjuangkan tuntutan mereka sejak tahun 2020.

Iklan
Iklan

Ramai yang menarik nafas lega kerana kepimpinan bekas jeneral tentera, Prayut Chan-o-cha selama lapan tahun bakal berakhir.

Tetapi, adakah semudah itu Prayut yang melancarkan kudeta pada 2014 akan melepaskan jawatannya walaupun Perdana Menteri ke-29 tersebut mengumumkan bakal bersara daripada dunia politik.

Iklan

MFP tidak disenangi senator dilantik tentera kerana dasar parti itu menyerlahkan jurang ideologi yang jelas terutamanya rancangan untuk meminda Undang-Undang Lese Majeste (Perkara 112 Kanun Jenayah) yang paling ditentang banyak pihak.

Dek rancangan kontroversi itu, tak pasal-pasal calon Perdana Menteri baharu yang juga pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, 42, ditolak mentah-mentah oleh Parlimen hingga mengakibatkan proses undian untuk melantik pengganti Prayut terpaksa ditunda sehingga kini.

Iklan

Selain itu, MFP turut disingkirkan daripada kerajaan gabungan yang pada mulanya diterajui mereka bersama lapan parti termasuk Parti Pheu Thai (PTP) yang menduduki tempat kedua pada pemilihan sebelum ini.

Waktu yang semakin suntuk menyebabkan blok konservatif terdiri daripada parti prodemokrasi itu kemudiannya beralih sokongan kepada PTP untuk memimpin mereka bagi membentuk kerajaan baharu. Ia ternyata bukan tugas mudah walaupun PTP agak berpengalaman dalam selok-belok politik di Thailand.

Berikutan gagal meraih majoriti diperlukan, PTP nekad membuat pusingan U apabila ia cuba meraih sokongan parti protentera tanpa penglibatan MFP walaupun ia menang besar ketika pilihan raya.

Keputusan itu mencetuskan kekeliruan kepada banyak pihak terutamanya Gerakan Baju Merah kerana PTP dilihat gagal mengekalkan imej antitentera yang diperjuangkan sejak sekian lama.

Kita sedia maklum dengan sejarah negara gajah putih itu yang sentiasa berdepan campur tangan tentera, malah kudeta sudah menjadi satu perkara biasa. Mana-mana kerajaan awam yang memerintah akhirnya akan digulingkan di bawah tindakan rampasan kuasa tidak kira betapa hebatnya pemimpin tersebut.

Menerusi tinjauan terbaharu dilakukan National Institute of Development Administration atau Nida Poll menunjukkan kebanyakan responden tidak menyokong keputusan PTP menubuhkan kerajaan bersama bekas seteru politik mereka tanpa mengira polarisasi politik.

Kaji selidik menerusi temu bual panggilan telefon bersama 1,310 individu terdiri daripada pelbagai golongan berusia 18 tahun ke atas pada 15 hingga 17 Ogos lalu menolak penubuhan ‘kerajaan khas’ yang akan turut disertai Parti Palang Pracharath dan United Thai Nation.

Data diperoleh Nida Poll mendapati 47.71 peratus sama sekali tidak bersetuju dengan rancangan tersebut yang dikhuatiri akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera dalam kerajaan.

Setelah dua kali proses pelantikan Perdana Menteri gagal, Parlimen bakal kembali bersidang hari ini (Selasa) untuk memilih calon yang dianggap layak dan ‘berkenan’ di mata 250 senator dilantik tentera sebagai cubaan menamatkan kebuntuan politik.

PTP telah menamakan taikun hartanah, Srettha Thavisin, 61, sebagai calon, malah beliau juga berusaha memenangi hati ahli dewan terutamanya senator yang masih berbelah bahagi untuk menyokongnya dengan kenyataan ‘membodek’ tentera selain menabur pelbagai janji kepada rakyat.

Adakah tiada lagi sinetron politik membingungkan pada kali ini? Sukar untuk membuat andaian kerana Parlimen Thailand penuh dengan kejutan di saat akhir.

Tetapi, episod drama politik negara itu menjadi semakin menarik apabila bekas Perdana Menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra, 74, yang hidup dalam buangan selama 15 tahun mengumumkan mahu kembali ke tanah air setelah menangguhkan rancangan itu beberapa kali.

Kepulangan tokoh berpengaruh PTP itu adalah pada hari sama proses undian untuk melantik Perdana Menteri baharu.

Apakah pelan sebenar Thaksin yang disingkirkan menerusi kudeta pada 2006? Adakah beliau sudah bersedia untuk meringkuk di dalam penjara atas sabitan kes sebelum ini seperti diuar-uarkan kerajaan jika pemimpin itu menjejakkan kaki di Thailand.

Apa yang pasti Thaksin hanya akan ‘meningkatkan lagi suhu politik’ dan mungkin mengeruhkan lagi krisis yang seperti tiada kesudahan.

* Marlissa Kamal ialah Wartawan Global Sinar Harian