TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua wakil rakyat di negeri itu berhenti bermain politik perlu diambil perhatian semua pemimpin demi memastikan suasana politik Malaysia lebih stabil.
Sebagaimana titah baginda semalam, tumpuan perlu diberikan dalam menyelesaikan masalah rakyat, termasuk usaha memulihkan semula ekonomi.
"Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar, bangunlah ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
"Jadikan negeri Selangor hebat semula seperti pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah baginda.
Apatah lagi setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor semalam, sekali gus melengkapkan pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri yang terlibat pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Tiada alasan untuk mana-mana pihak menimbulkan konflik, sebaliknya fokus kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan rakyat.
Perkembangan tersebut menamatkan teka-teki sama ada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kekal menjadi Menteri Besar Selangor bagi penggal baharu.
Sementara itu, bagi perkembangan kes pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan kotak perakam suara kok pit (CVR) milik pesawat tersebut telah dihantar ke sebuah makmal di Singapura bagi mendapatkan semula data rakaman suara 30 minit terakhir sebelum nahas untuk dianalisis.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Malaysia juga dilapor berdepan kesukaran untuk mendapatkan data rakaman berkenaan kerana CVR yang mengandungi 'memory puck' itu berada dalam keadaan tidak sempurna dan hangus.
"Pakar datang ke Malaysia pada Jumaat lalu untuk menawarkan bantuan dan CVR dihantar ke Singapura untuk analisis rakaman suara. Keesokannya CRV telah berjaya dibuka serta mengeluarkan komponen memory puck,” menurut Anthony.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan di lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina semalam sebaik sahaja tiba di Malaysia malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilapor berkata, pasukan pakar dari AS itu akan berada di negara ini antara tujuh hingga 10 hari bagi menjalankan siasatan.
"Proses siasatan kemungkinan akan mengambil masa kerana banyak komponen kecil masih ada di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, polis akan mengambil alih siasatan terhadap nahas tersebut sekiranya terdapat unsur jenayah ataupun ‘foul play’.
Sebarang unsur jenayah akan dimaklumkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang kini bertanggungjawab menyiasat punca nahas itu.