SHAH ALAM - Datuk Seri Amirudin Shari memulakan tugas hari pertamanya sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Selasa.
Beliau yang berpakaian sut serba kelabu tiba sambil diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim serta pegawai-pegawai penjawat awam negeri.
Iklan
Iklan
Sebagai simbolik, Amirudin kemudian melakukan 'punch in' kad untuk memasuki pejabatnya pada jam 8 pagi.
Pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu dipilih dan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor ke- 17.
Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang.
Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.
Dalam majlis itu, Amirudin yang dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.