PANDELELA Rinong Pamg akan direhatkan daripada beraksi pada Siri Terjun Dunia bagi membolehkan ratu terjun negara itu memberi fokus kepada Kejuaraan Terjun Dunia 2019 yang menawarkan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen mengesahkan Pandelela akan terlepas Siri Terjun Dunia di Kazan, Rusia pada hujung minggu ini dan di London dari 17 hingga 19 Mei ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan Pandelela bebas daripada sebarang kecederaan, untuk beraksi pada Kejuaraan Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada 12 hingga 28 Julai ini.
"Pandelela sekarang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan namun tidak terlalu serius. Keadaan ini antara sebab dia tidak dapat beraksi di Siri Terjun Dunia. Kami buat keputusan, lebih baik dia berehat seketika supaya kecederaan itu cepat pulih.
"Apa lebih penting dia boleh beraksi di Kejuaraan Dunia berbanding Siri Terjun Dunia. Kita tidak mahu keadaannya bertambah teruk. Pada masa sama, Institut Sukan Negara (ISN) akan memantau keadaan Pandelela,” katanya.
Belia ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 yang dipengerusikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Dalam perkembangan sama, Mae Chen mengakui Kejuaraan Dunia menjadi fokus utama skuad terjun negara berbanding Sukan SEA 2019 di Filipina kerana saingan di Korea Selatan itu menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.
"Kami hanya fikirkan Kejuaraan Dunia. Jika penerjun boleh catat keputusan yang baik di kejohanan itu, jadi saya rasa tidak ada masalah untuk mereka cemerlang pada Sukan SEA.
"Saya harap ada beberapa penerjun akan layak melalui Kejuaraan Dunia ini, jika tidak kita akan cuba di kejohanan lain seperti Kejohanan Terjun Piala Asia pada September dan Piala Dunia di Mexico tahun depan," katanya.
Selain Pandelela, skuad terjun ke Kejuaraan Dunia bakal dibarisi Leong Mun Yee, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri, Jellson Jabillin, Chew Yiwei, Muhammad Syafiq Puteh, Hanis Nazirul Jaya Surya dan Ooi Tze Liang.
Mae Chen berkata sebelum memulakan aksi di Kejuaraan Dunia, penerjun negara akan menjalani latihan di Negeri Sembilan akhir bulan ini, dan seterusnya mengikuti latihan di Wuhan, China pada Jun. - Bernama