'Badai datang kerana Tuhan sayang'

Iklan
Kunjungan Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Sinar Harian mendekati anak-anak SDN 2 Tatura di Kota Palu ini jelas terlihat kesan trauma

PALU, SULAWESI TENGAH - "Torang nin tau kapan tu badai datang

Torang nin tau kapan musibah datang

Iklan
Iklan
Yang torang tau Tuhan sayang pa torang

Ba sabar jo, doa torang panjatkan

"Mari jo torang baku sayang

Iklan

Mari jo orang baku jaga

Mari jo torang baku pegangan tangan.

Iklan

LIRIK lagu 'Baku Jaga' dalam bahasa Manado nukilan Wakil Wali Kota Palu Sigit Purnomo Syamsuddin Said (Pasha Ungu) kini menjadi dendangan harian buat anak-anak sekolah di Kota Palu bagi meredakan gundah gulana di hati selepas tragedi bencana terburuk yang meredam tanah lahir mereka.

Lagu yang asalnya ditulis untuk bencana banjir di Manado pada 2014 itu menceritakan kecekalan warga penduduk bersatu bangkit daripada tragedi turut digunakan sebagai tanda solidariti mereka yang terjejas serta cuba bangkit daripada trauma dasyhat itu.

Kunjungan Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Sinar Harian mendekati anak-anak SDN 2 Tatura di Kota Palu ini jelas terlihat kesan trauma dan semangat untuk hidup selepas kediaman tempat berteduh dan padang mainan mereka bergulung dalam lumpur kemudian tenggelam ke perut bumi pada kejadian 28 September lalu.

Mengimbas saat menjadi saksi tanah perlahan-lahan meredam dan melenyapkan seluruh kampung termasuk isinya di depan mata ternyata ia bukanlah memori yang 'indah' untuk dikenang, namun imbasan itu muncul satu persatu merusuhkan pemikiran buat anak-anak kecil yang terjejas berikutan bencana alam itu.

Seorang mangsa likuifaksi di Petobo, Ida Ayu Myra Sapta Swaria,11, masih terbayang jelas apa yang berlaku hujung September lalu yang menyebabkan perusahaan fotokopi keluarga dan rumahnya lenyap begitu sahaja.

"Sewaktu gempa itu menggegar, saya sedang tidur dan tidak sedar ada gegaran. Papa kejutkan saya kerana tempat tidur saya dipenuhi kaca pecah daripada mesin fotokopi yang pecah di tingkat atas, lalu papa gendong saya keluar.

"Saya masih binggung, saya dengar orang menangis, saya fikir ada orang terlibat kecelakaan, ternyata itu tante (ibu saudara) saya. Ketika itu juga karyawan yang bekerja di perusahaan kami di atas berlari turun katanya ada ombak lumpur.

"Mama saya panik, kunci motor tidak ditemukan, papa bilang lari saja, kami bertempiaran lari ke tanah lapang di depan rumah, tanah yang saya pijak itu saja masih berdiri, tanah sekeliling sudah hanyut dibawa arus lumpur," cerita gadis cilik dari Petobo itu.

Tambah Ida Ayu Myra lagi, beliau dan sembilan lagi termasuk keluarganya hanya mampu melihat dengan ketakutan apabila keseluruhan tanah di sekitar mereka bertukar menjadi lautan coklat menghanyutkan rumah, bangunan, kenderaan dan manusia lain.

"Rumah saya sudah di bawah lumpur, saya berdoa terus sehingga arus lumpur itu berhenti, saya fikir seluruh Palu ini sudah tertimbus di bawah lumpur, padahal belum.

"Kemudian saya berjalan cuma dua petak sawah sudah sampai di Jalan Raja Lembar, ketika itu badan saya diselaputi lumpur, kaki sakit dan luka-luka, kami sekeluarga mengungsi di tenda, pagi esoknya ada lagi gempa susulan, saya takut, fikirnya mungkin kali ini akan tergulung, mujur masih selamat," kongsinya.

Seorang lagi mangsa, Rehan Dafit, 11, turut menghadapi situasi panik ketika berlakunya likuifaksi dan menjadi saksi rumah tempat beliau membesar dihanyut ditelan lumpur dan hanya selamat kerana sedang bermain di kawasan luar.

"Ketika kejadian aku sedang bermain kejar-kejaran tiba-tiba rumahku mundur perlahan-perlahan, sekelip mata lumpur deras datang, rumahku hanyut ke bawah langsung roboh.

"Aku lihat kakakku kakinya terobek di timpa kayu, mujur aku, mama dan kakakku masih selamat," katanya.

Jika dikenang bencana likuifaksi itu, sememangnya ia bukan mala petaka biasa malah ia menggoncang seluruh jiwa nurani mangsa yang terjejas.

Malah ketika terdengar bunyi dentuman di jalan raya, murid-murid ini panik, bimbang jika gempa datang lagi.

Kedatangan GPM ke sekolah dasar yang menempatkan hampir 300 murid dari Kota Palu, Sulawesi Tengah, dalam usaha menyembuhkan luka dihati anak-anak kecil dan cuba menyuntik kegembiraan mereka untuk kembali hidup penuh semangat menempuh kehidupan.

Murid-murid diajak menyanyi, menari, membuat origami, mewarna, menonton tayangan kartun Upin dan Ipin serta kitar semula dengan bantuan enam relawan GPM yang mempraktikkan modul"psikososial first aid (PFA)" yang bertujuan menggembirakan dan membuatkan mereka lupa detik hitam yang menghantui tidur malam mereka.

Sementara itu, Kepala Sekolah SDN 2 Tutura, Nirwana Novita Sari, menzahirkan rasa senang dengan kunjungan relawan ke sekolah mereka bagi menghiburkan murid-murid.

"Lain macam saya lihat senyuman dan semangat anak-anak hari ini, jarang sekali mereka dilayan dan dihiburkan seperti ini.

"Lepas kejadian gempa itu, cuma seorang dua saja murid yang datang, sekarang nampaknya trauma mereka semakin reda.

"Operasi sekolah pula, buat masa ini kita tempatkan murid tahun satu dan dua di tenda yang terletak di pekarangan sekolah manakala murid tahun tiga hingga enam di tingkat bawah saja, khuatir jika berlaku gempa susah untuk anak-anak berlari turun. Dinding di bahagian atas cuma retak tapi kita tidak berani merisikokan nyawa murid dan guru di sini," katanya.