RAMALLAH - Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye pada Isnin menuduh Israel mengenakan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, lapor Xinhua.
Beliau membuat kenyataan itu berikutan beberapa siri serangan yang dilakukan oleh pendatang Yahudi terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di beberapa kawasan di Tebing Barat.
"Bandar Huwara dan kampung-kampung di selatan Nablus di bahagian utara Tepi Barat dan beberapa kawasan lain sekali lagi telah menjadi sasaran dalam tempoh dua hari lalu," kata Ishtaye dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bahawa"hukuman kolektif dan semua pencerobohan berulang terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat akan meningkatkan kekuatan dan keazaman mereka untuk kebebasan dan kemerdekaan."
Ishtaye mengecam tuntutan beberapa pendatang dan pelampau Yahudi untuk menghapuskan Huwara, yang berlaku selepas kejadian tembakan mengorbankan dua warga Israel di bandar itu pada petang Sabtu.
Pada hari Isnin, pertempuran sengit meletus di Huwara dan beberapa kampung di selatan Nablus antara berpuluh-puluh rakyat Palestin dan tentera Israel. Berpuluh-puluh orang maut selepas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera, menurut pakar perubatan Palestin.
Pertempuran berlaku apabila tentera Israel menyerbu beberapa rumah dan kedai dan mengetatkan langkah ketenteraan mereka berhampiran Nablus, mendakwa mereka sedang mencari pelaku serangan.
Sejak Januari, 33 orang, kebanyakannya warga Israel terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin, dan lebih 200 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera dan pendatang Israel, menurut angka rasmi. - Bernama