PRK: PN akan beri tentangan sengit di DUN Simpang Jeram

Iklan
PN nekad memberi tentangan sengit dalam usaha merampas kerusi DUN Simpang Jeram pada 9 September nanti..- Gambar hiasan. Gambar kecil: Mahadzir

MUAR - Perikatan Nasional (PN) Bakri tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September nanti.

Pengerusi Bersama PN Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, gabungan tersebut yang diwakili calon daripada Pas nekad akan memberi tentangan sengit dalam usaha merampas kerusi DUN Simpang Jeram.

Iklan
Iklan

"Jika dilihat atas kertas sememangnya berpihak kepada calon PH-BN, namun sentimen politik pada masa ini sukar diramal seperti yang berlaku di enam negeri dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini," katanya ketika dihubungi.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri itu berkata, faktor gelombang rakyat yang menyokong PN dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu diharap berlaku pada PRK DUN Simpang Jeram dan juga PRK Parlimen Pulai.

Iklan

"Walaupun terdapat perbezaan kira-kira 3,000 pengundi antara kaum Tiong Hua dan Melayu namun tiada siapa boleh meramalkan pilihan mereka.

Justeru katanya, gabungan komponen PN terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memastikan gelombang rakyat itu turut berlaku di DUN Simpang Jeram.

Iklan

Tambah beliau, calon yang akan bertanding dalam PRK itu dijangka diumumkan pada Rabu dan seterusnya gerak kerja kempen dilakukan sebaik selesai majlis penamaan calon pada Sabtu.

Ujarnya, banyak perkara akan menjadi tumpuan khususnya perkara berkaitan kebajikan dan infrastruktur untuk masyarakat sepanjang kempen berlangsung nanti.

Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili DatuK Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.

Sementara calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.