PM umum tambahan geran iTekad RM6 juta bantu usahawan PMKS

Iklan
Anwar beramah mesra dengan peserta iTekad pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.

Iklan
Iklan

Katanya, kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

"Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini,” katanya di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini.

Iklan

iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Iklan

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru lebih banyak institusi perbankan di Malaysia untuk menyertai inisiatif iTekad ini dalam masa terdekat.

"Setakat ini, kita ada 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini, angka tersebut dapat mencecah kepada 20 institusi perbankan.

"Kalau tidak, saya hendak minta untuk melihat senarai yang belum masuk dan kemudiannya dikembangkan kepada sektor-sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata penglibatan bank adalah penting kerana kerajaan akan lebih yakin dari segi kecekapan, kekerapan dan impaknya apabila bank pusat dan bank lain menguruskan inisiatif itu bersama-sama.

"Saya juga teliti tentang tahap kejayaannya kerana dari segi kos pengurusan, ia lebih rendah daripada beberapa agensi yang dikendali oleh pihak kementerian dan dari segi tekanan kewangan kepada kerajaan juga jauh lebih kurang,” jelas Anwar.

Justeru, beliau menegaskan penyertaan pihak perbankan penting untuk menjadikan inisiatif iTekad sebagai satu tonggak kejayaan sektor perbankan di Malaysia. - Bernama