Peniaga Pasar Borong KL bantah tambahan blok baharu

Iklan
Para peniaga membantah cadangan pembinaan tambahan blok baharu dalam kawasan PBKL pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Lebih 400 peniaga membantah cadangan syarikat swasta untuk membina tambahan blok di dalam kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Wakil peniaga, Sing Kian Hock berkata, satu petisyen bantahan telah dikumpulkan dan diserahkan kepada Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek tersebut yang dicadangkan didirikan atas tapak parkir dan mampu memuatkan sehingga 300 peniaga bakal memberi kesan kepada peniaga sedia ada.

"Bangunan sedia ada sudah memadai bagi menampung operasi peniaga. Ekonomi yang buruk selepas pandemik Covid-19 akan memberikan kesan kepada para peniaga jika projek itu diteruskan.

Iklan

"Kami bukan hanya terpaksa berdepan isu penjaja warga asing di luar PBKL malah terpaksa bersaing dengan peniaga di blok baharu juga nanti seterusnya menyebabkan lebih banyak peniaga sedia ada akan terpaksa gulung tikar," katanya ketika menyertai bantahan di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, projek bernilai RM150 juta itu dikemukakan oleh sebuah syarikat swasta untuk membangunkan bangunan pasar berkenaan sekitar 2021.

Iklan

"Apabila operasi pasar diswastakan, akan menimbulkan banyak masalah terutama kenaikan harga sewa dan banyak lagi.

"Wujud juga persoalan kenapa cadangan itu hanya ditawarkan kepada satu syarikat, sepatutnya perlu buat tender terbuka untuk memilih syarikat yang betul-betul layak," katanya.

Prabakaran (tiga dari kanan) menerima petisyen bantahan pembinaan bangunan baharu di bawah projek swasta dalam PBKL pada Selasa.

Dalam pada itu, Prabakaran berkata, petisyen itu akan diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Rabu menerusi pertemuan diadakan membabitkan ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur.

Prabakaran berkata, pihaknya meminta DBKL menyemak semula sebarang cadangan pembangunan sebelum diluluskan bagi mengelak masalah pada masa depan.

"Sejarah pasar ini sudah 27 tahun dan mereka yang berniaga di sini telah berpengalaman. Sebarang cadangan pembangunan daripada pemaju perlu berjumpa dan mendapat pandangan dengan peniaga terlebih dahulu.

"Saya selaku ahli Parlimen juga tidak dimaklumkan cadangan itu dan hanya mengetahui mengenainya pada sesi libat urus antara pemaju dengan peniaga beberapa bulan lalu," katanya.

Tambahnya, DBKL perlu bertemu dan berbincang dengan peniaga serta persatuan bagi memastikan projek memberi manfaat kepada kedua belah pihak.