Syarat lesen operasi: Lynas dapat kebenaran semakan kehakiman

Iklan
Komplek Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) untuk memulakan dua prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung syarat lesen operasinya yang melarang pengimportan dan pemprosesan lantanida selepas 1 Januari 2024.

Keputusan itu disampaikan oleh hakim Datuk Amarjeet Singh dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di dua mahkamah hari ini, setelah tiada bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Iklan
Iklan

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Shamsul Bolhassan mewakili AGC manakala Lynas diwakili oleh Tan Sri Cecil Abraham.

Semasa prosiding di hadapan hakim Wan Ahmad Farid, Abraham memaklumkan bahawa Lynas akan memfailkan permohonan supaya kedua-dua semakan kehakiman itu didengar di hadapan Wan Ahmad Farid.

Iklan

Setelah memberikan kebenaran itu, mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran untuk mendengar hujahan lisan mengenai merit semakan kehakiman tersebut.

Pada Julai lepas, Lynas Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebagai responden.

Iklan

Lynas, dalam satu kenyataan media berkata, tindakan itu difailkan untuk membatalkan syarat sekatan pengimportan dan pemprosesan lantanida pekat selepas 1 Januari tahun depan

Pada 9 Mei, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan tidak menutup operasi Lynas, tetapi syarikat itu tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti 'cracking and leaching' (C&L) di negara ini selepas 31 Disember.

Beliau berkata, keputusan untuk melanjutkan tempoh kilang menjalankan aktiviti C&L selama enam bulan lagi adalah untuk mengelak menjejaskan rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga mengumumkan bahawa rayuan Lynas terhadap pengguguran empat syarat pelesenan yang ditetapkan oleh AELB telah ditolak selepas perbicaraan diadakan pada 28 April bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan itu. - Bernama