Empat beranak huni rumah uzur, dinding roboh

Iklan
Mohamad Salleh menunjukkan bahagian dinding bilik air yang roboh dan hanya ditutupi kain di rumahnya di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah.

KUALA KEDAH - Empat beranak termasuklah seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur di Kampung Tepi Laut, di sini sejak lapan tahun lepas.

Suri rumah, Shuhada Shuib, 35, berkata, mereka sekeluarga terus mendiami rumah dengan bumbung berlubang dan dinding roboh kerana mendakwa tidak mampu untuk membaik pulih kediaman itu.

Iklan
Iklan

Menurut Shuhada, mereka hanya bergantung hidup dengan pendapatan suaminya, Mohamad Salleh Ismail, 35, yang tidak menentu sebagai nelayan.

"Dalam sebulan, suami mampu meraih pendapatan sekitar RM500 sahaja, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan hasil tangkapan.

Iklan

"Dengan pendapatan tidak seberapa ini, kami gunakan untuk untuk membeli barangan keperluan asas terutamanya makanan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Selasa.

Menurutnya, mereka juga memerlukan kira-kira RM200 untuk membeli barangan keperluan seperti lampin pakai buang untuk anaknya yang OKU, Mohamad Afiq Ramadhan Abdullah, 9.

Iklan

Shuhada berkata, dia ingin membantu suaminya namun tidak berupaya bekerja disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,selain perlu menjaga Mohamad Afiq.

Shuhada perlu bergerak menggunakan alat khas disebabkan sebahagian kakinya dipotong di Kampung Tepi Laut, di sini.

"Saya bukan hanya perlu menjalani dialisis buah pinggang tiga kali seminggu, malah sebahagian kaki kanan juga dipotong akibat kencing manis," katanya.

Shuhada berkata, dia ada menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, namun dikhuatiri tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.

Sehubungan itu, Shuhada berharap ada pihak tampil membantu meringankan bebanan mereka terutamanya dari segi keperluan Mohamad Afiq.

Dia turut berharap ada pihak sudi membantu untuk membaik pulih rumah terbabit memandangkan mereka empat beranak tidak mempunyai tempat berteduh lain.

"Ada bahagian tertentu seperti bilik air dan bilik tidur anak sulung hanya ditutupi dengan kain sahaja kerana kami tidak mampu untuk membaiki sendiri,"katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melakukannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0210841000084191 atas nama Shuhada Shuib.