GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan dan menangkap lapan nelayan termasuk lima warga Myanmar, pada Isnin.
Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim S Nak Rong berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan dalam dua pemeriksaan berbeza oleh pasukan Maritim Malaysia Pulau Pinang.
Menurutnya, dalam pemeriksaan pertama, pihaknya menahan sebuah bot kelas C di kedudukan 24.7 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 11.30 pagi.
"Ketika Kapal Maritim (KM) Sikuati yang melakukan rondaan rutin di perairan Pulau Kendi mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan. Setelah diperiksa, kita mendapati bot tersebut mempunyai pelbagai kesalahan.
"Pemeriksaan juga mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar termasuk tekong warga Myanmar. Bot tersebut menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati bot terbabit tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Salah seorang daripada kru tersebut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 36 hingga 56 tahun direman 14 hari untuk membantu siasatan," katanya.
Nak Rong berkata, dalam pemeriksaan berbeza, bot ronda Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot tempatan kelas A bersama tiga orang kru warga tempatan di kedudukan 1.78 batu nautika Timur Pulau Kendi.
"Bot tersebut ditahan pada jam 12 tengah hari semalam. Kedua-dua bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit yang sah.
"Bot dan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan 500 kilogram bernilai RM15,000 telah dirampas serta dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya.