GEORGETOWN - Seorang wanita warga Rusia bersama anak lelakinya yang tersesat di Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang, di sini pada pagi Selasa berjaya diselamatkan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang, Pegawai Bomba Kanan I, Wan Abdul Malik Wan Husain berkata, mangsa dikatakan tersesat di dalam hutan ketika menjalankan aktiviti mendaki di lokasi terbabit.
Iklan
Iklan
"Kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 9.30 pagi tadi mengatakan dua individu tersesat di dalam hutan.
"Mangsa dikenali sebagai Ksenia Mayorova berusia 38 tahun manakala anaknya yang berbangsa Yemen, Akram Nasser Saleh berusia 13 tahun ditemui selamat pada jam 12.27 tengah hari tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak dapat dihubungi kerana masalah rangkaian di lokasi berikutan ia merupakan kawasan hutan.
"Kerja-kerja mencari dan menyelamat turut dibantu oleh pihak Taman Negara dan polis," katanya.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.25 petang.