Merdeka Ride tawar diskaun saman 50 peratus

Iklan
Hussein (kanan) ketika sidang media hebahan Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Diskaun 50 peratus saman ditawarkan kepada orang ramai di Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, diskaun itu melibatkan semua jenis saman kecuali 10 kesalahan utama.

Iklan
Iklan

"Sepanjang program ini, orang ramai boleh membayar saman dengan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus kecuali saman membabitkan kemalangan, tidak boleh kompaun (NC), Op Selamat, dan bicara mahkamah," katanya menerusi sidang media hebahan Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor, di sini pada Selasa.

Katanya, program kayuhan ini bermula kira-kira jam 7 pagi di pekarangan Tapak Karnival Stadium Shah Alam.

Iklan

"Kayuhan kemudiannya akan bermula daripada Dataran Shah Alam melalui Bangunan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Masjid Negeri dan beberapa kawasan dan mercu tanda ikonik negeri ini.

"Terdapat dua kategori kayuhan dalam Merdeka Ride iaitu 10 kilometer bagi kayuhan VVIP dan 30 kilometer bagi kayuhan terbuka dengan setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM70," katanya.

Iklan

Menurutnya, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk turut serta dalam acara kayuhan Merdeka Ride dan seterusnya merasmikan karnival ini.

"Matlamat dan objektif program ini untuk mempromosikan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' selain mengeratkan perhubungan antara pelbagai kaum.

"Penganjuran Merdeka Ride ini turut memberi peluang kepada peniaga terutamanya golongan belia untuk meningkatkan ekonomi melalui karnival yang diadakan serta menggalakkan gaya hidup sihat sambil mempromosikan tempat-tempat ikonik di negeri ini," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh mendapatkan borang penyertaan dengan mengimbas kod yang disediakan dalam laman web rasmi PDRM Selangor.