Srettha Thavisin dilantik PM baharu Thailand

Iklan
Srettha dicalonkan PTP untuk menjadi Perdana Menteri pada awal bulan ini. - Foto Agensi

BANGKOK - Parlimen Thailand pada Selasa akhirnya memberi lampu hijau kepada taikun hartanah yang dicalonkan Parti Pheu Thai (PTP), Srettha Thavisin menjadi Perdana Menteri ke-30, sekali gus menamatkan kebuntuan politik yang berlarutan semalam tiga bulan.

Kesepakatan itu dicapai pada hari sama kepulangan bekas Perdana Menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra ke tanah air setelah hidup dalam buangan selama 15 tahun.

Iklan
Iklan

Media tempatan melaporkan Srettha, 61, memperoleh 374 undi majoriti yang diperlukan dengan mudah termasuk daripada kalangan senator yang dilantik junta tentera selepas penolakan pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat dalam dua pusingan undi sebelum ini.

Difahamkan, gabungan parti diterajui PTP memegang 314 daripada 500 kerusi Dewan Rakyat malah parti yang mempunyai kaitan dengan Thaksin itu juga cuba meraih sokongan bersama dua parti protentera, baru-baru ini.

Iklan

Rancangan PTP untuk menubuhkan kerajaan baharu dilihat membuahkan hasil walaupun ia berada di kedudukan kedua di belakang MFP ketika Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Pada Jumaat, Srettha yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif gergasi hartanah, Sansiri berikrar untuk membasmi kemiskinan dan ketidaksamaan di negara gajah putih tersebut. - AFP

Iklan