BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Selasa.
Pasangan negara yang menghuni ranking ke-21 dunia itu hanya memerlukan 21 minit untuk menewaskan Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq dari Maldives 21-4, 21-6 dalam aksi yang berlangsung di Royal Arena.
Iklan
Iklan
Aksi tersebut merupakan perlawanan pertama Kian Meng-Pei Jing dengan beregu di ranking ke-84 dunia itu.
Pada pusingan kedua, Kian Meng-Pei Jing akan membuat perhitungan dengan pilihan ke-12 kejohanan dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.
Pasangan dari negara jiran itu melangkah ke pusingan kedua selepas menerima 'bye' pada pusingan pertama.
Sebagai rekod, pertemuan Kian Meng-Pei Jing dengan beregu Thailand itu merupakan yang keenam dengan catatan kemenangan memihak kepada Supak-Supissara 3-2.
Kali terakhir Supak-Supissara meraih kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing adalah pada pusingan pertama Masters Malaysia 2023.