Padah suka-suka ubah nombor plat 'fancy', remaja ditahan polis

Iklan
Antara motosikal yang ditahan menerusi Op Motosikal yang dijalankan di sekitar lokasi tumpuan di ibu kota pada 17 Ogos sehingga 19 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang remaja menggunakan nombor pendaftaran 'Nasty Port Flow' membawa padah apabila ditahan polis menerusi Op Motosikal dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada 17 Ogos sehingga 19 Ogos lalu.

Remaja berumur 17 tahun itu memberi alasan nombor pendaftaran motosikal tersebut dipasang sekadar suka-suka selain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Ketua JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi melibatkan seramai 173 pegawai dan anggota itu menumpukan lokasi tumpuan di beberapa kawasan terlibat sekitar ibu kota.

"Antara kawasan terlibat adalah sekitar Jalan Sultan Ismail, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Kuantan, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee dan Jalan Tun Razak.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati sebuah motosikal dikesan menggunakan nombor pendaftaran Nasty Port Flow yang mana pada bahagian belakangnya terdapat nombor asal motosikal tersebut namun tidak lengkap," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, operasi turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar(JAS) bagi pengujian ekzos.

Iklan

"Sebanyak 741 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 115 motosikal disita dalam operasi tersebut.

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan.

"Keselamatan melibatkan pengguna jalan raya adalah satu keutamaan, selain memastikan peraturan sedia ada sentiasa dipatuhi oleh semua.

"Sebarang maklumat mengenai aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999," katanya.