MUAR - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon mereka daripada Pas yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada malam Rabu di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram di sini.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan memberitahu bahawa calon tersebut berusia bawah 50 tahun serta merupakan anak jati negeri ini selain diyakini parti boleh diterima pengundi dan mendapatkan kemenangan.
"Kita ketengahkan calon yang berwibawa dan tidak terlalu tua atau terlalu muda, kira golongan pertengahanlah. Saya tidak mahu memberitahu namanya kerana biarlah diumumkan secara rasmi pada malam esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, beberapa pemimpin dijangka hadir pada majlis pengumuman malam esok antaranya Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah.
"Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim juga ada menyatakan kesediaannya untuk hadir," katanya.
Abdullah berkata, PN percaya mempunyai peluang untuk menang dalam berhadapan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Nazri Abdul Rahman pada PRK tersebut, 9 September nanti.
"Kita merasakan tidak mustahil untuk menang. Ini ditambah lagi dengan 'gelombang hijau' dan perubahan sokongan rakyat terhadap PN dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini," ujar beliau.
Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili Datuk Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.
Sementara calon BN, Datuk Lokman Md Don memperolehi 6,062 undi.
PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.