SASARAN pingat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2022 akan ditetapkan selepas penilaian prestasi semasa atlet hingga awal bulan depan termasuk penyertaan mereka dalam beberapa kejohanan tidak lama lagi.
Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kenyataan pada Selasa berkata, sasaran itu kemudiannya akan diumumkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Chong Kim Fatt, ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara.
Sebelum ini, sasaran pingat untuk temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia biasanya diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan.
Antara kejohanan yang bakal disertai oleh atlet harapan pingat sebagai persiapan terakhir sebelum ke Hangzhou adalah Kejohanan Dunia di Valencia bermula 23 hingga 27 Ogos untuk gimrama dan Kejohanan Berbasikal Piala Trek Asia di Thailand pada 26 hingga 30 Ogos.
Bagi badminton, pemain negara akan menyertai Terbuka China (5-10 September) dan Terbuka Hong Kong (12-17 September), manakala pemain skuasy akan beraksi dalam beberapa kejohanan di Qatar serta Amerika Syarikat.
Terdahulu, wakil daripada 26 persatuan sukan kebangsaan terlibat dengan Sukan Asia bersama-sama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak berkepentingan lain menghadiri bengkel penetapan sasaran yang dianjurkan MSN pada Selasa.
Ia bagi mengenal pasti kemampuan dan prestasi terkini atlet-atlet negara untuk dijadikan pengukur kemampuan meraih pingat.
"Turut difokuskan pada bengkel berkenaan ialah penilaian prestasi terkini barisan atlet negara lain yang menjadi pencabar kepada atlet-atlet yang menjadi sandaran pingat untuk kontinjen negara," menurut MSN.
Seramai 415 orang, merangkumi 292 atlet (191 lelaki dan 101 wanita) dan 123 jurulatih serta pegawai bakal mewakili kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, bermula 23 September hingga 8 Oktober depan. - Bernama