Seksa anak kera: Aktivis haiwan, NGO gagal dapat kebenaran

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang aktivis haiwan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari gagal mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sin bagi mencabar keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) enggan mengambil tindakan lanjut terhadap laporan polis berhubung kes penyeksaan anak-anak kera.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam menolak permohonan kebenaran Dr Kartini Farah Abdul Rahim dan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia Global (Hidup) memutuskan bahawa pemohon gagal mengemukakan bukti prima facie terhadap alasan mencabar keputusan AGC.

Iklan
Iklan

"Pemohon mesti memberikan bukti di luar tangkapan skrin Telegram kumpulan, pemacu google yang terdiri daripada video anak-anak kera yang diseksa, laporan polis, dan artikel BBC untuk mengatasi anggapan ini," kata hakim ketika menyampaikan keputusan menerusi prosiding Zoom hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Dr Kartini Farah dan Hidup sebagai pemohon pertama dan kedua memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Iklan

Wanita itu memohon perintah untuk mengetepikan keputusan AGC bertarikh 5 April lalu untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap laporan polis yang dibuat pemohon, selain memohon perintah mengarahkan AGC mendakwa pelaku mengikut undang-undang yang sewajarnya.

Hakim Ahmad Kamal, dalam keputusannya berkata, pemohon telah gagal untuk menyangkal anggapan kesahihan Peguam Negara dalam melaksanakan kuasanya dan juga gagal menunjukkan bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan dengan niat mala fide (niat jahat).

Iklan

"Memandangkan sifat permohonan ini memerlukan standard semakan yang lebih tinggi, saya berpendapat pemohon gagal melepasi halangan ini,” katanya.

Beliau juga berkata, ketidakteraturan permohonan pemohon dari segi menamakan pihak yang salah dan kegagalan mengenal pasti tarikh keputusan yang dipersoalkan dengan betul akan memberi kesan besar kepada permohonan itu.

Katanya, daripada permohonan pemohon, ia menunjukkan bahawa pemohon tidak mengenal pasti tarikh keputusan yang dipersoalkan itu dibuat oleh pihak pendakwaan.

"Oleh itu, kegagalan pemohon untuk mematuhi syarat ini adalah serius. Mahkamah tidak seharusnya bersidang semata-mata untuk membatalkan keputusan seperti dituntut oleh pemohon apabila tarikh keputusan dipersoalkan itu tidak tepat.

Ahmad Kamal seterusnya berkata, pemohon dalam permohonan mereka meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara bertarikh 5 April adalah tidak munasabah dan tidak wajar dari segi prosedur.

"Setelah meneliti dokumen, adalah diketengahkan bahawa tarikh yang digunakan dalam permohonan pemohon adalah tarikh surat Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata, surat PDRM bertarikh 5 April menjelaskan timbalan pendakwa raya telah mengklasifikasikan siasatan laporan polis pertama oleh pemohon sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar pihak pendakwaan membuat keputusan tersebut.

Dalam permohonan itu, Dr Kartini Farah mendakwa pada 20 Jan lalu, beliau telah menerima maklumat daripada dua persatuan pencinta haiwan dari United Kingdom dan Amerika Syarikat mengenai satu kumpulan penyeksa anak-anak kera dengan individu berkenaan menjual video penyeksaan itu di aplikasi Telegram.

Pada tarikh sama, beliau membuat laporan polis dengan menyerahkan maklumat terperinci mengenai individu terbabit dan semasa siasatan, individu berkenaan mengaku melakukan penyeksaan terhadap haiwan.

Menurut pemohon, rakaman seperti mengerat leher binatang itu dengan menggunakan gunting, membakarnya ketika ia masih hidup dan memotong jari haiwan berkenaan secara satu persatu, telah dikongsi dalam aplikasi Telegram yang disertai ratusan individu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa polis membebaskan individu berkenaan tanpa sebarang tuduhan dibuat terhadapnya.

Semasa prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam L Pavitra, manakala pihak AGC oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly. - Bernama