Peguam serius mahu beli Kelantan FC

Iklan
Kamal Hisham (kanan) mengadakan pertemuan dengan Norizam di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto FB KAMAL HISHAM JAAFAR

CALON baharu pemilik Kelantan FC yang juga seorang peguam, Kamal Hisham Jaafar tidak ‘main-main’ apabila menyatakan hasrat untuk membeli kelab itu daripada ahli perniagaan, Norizam Tukiman.

Menurutnya, harga bukan masalah kerana beliau mempunyai rakan pelabur iaitu pemilik sebuah kelab di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan bersamanya mengeluarkan dana untuk membeli skuad The Red Warriors (TRW).

Iklan
Iklan

"Saya duduk (menetap) di Dubai dan ulang-alik ke Malaysia. Jadi, saya ada rakan di UAE yang memang ada kelab besar di sana dan beliau berminat untuk cari sebuah kelab di Malaysia.

"Jadi, apabila saya tengok, TRW ini sebuah kelab yang menarik. Orang Kelantan ini unik dan mereka mempunyai semangat dalam sukan bola sepak.

Iklan

"Walaupun pasukan tersebut belum capai kejayaan tetapi semangat kenegerian mereka kuat untuk sokong, itu menarik minat kami. Pemilik kelab (UAE) itu juga akan datang dengan pelaburan yang agak besar ke Malaysia.

"Sudah tentu Kelantan akan mendapat manfaat dalam pelbagai aspek termasuk fasiliti. Namun, saya tidak boleh dedahkan lagi siapa pemilik kelab UAE itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Kamal Hisham dalam satu hantaran di Facebook menyatakan keinginan untuk membeli Kelantan FC dan sedang melakukan kajian termasuk harga yang munasabah.

Selain Kamal Hisham, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan pernah menyatakan hasrat membeli kelab tersebut.

Bagaimanapun, masih belum ada kata putus apabila Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham dilaporkan mahu menjual kelab itu dengan harga yang ‘sepatutnya’.

Dalam pada itu, Kamal Hisham mengesahkan perbincangan awal telah dilakukan dengan Norizam baru-baru ini, namun mereka masih belum mencapai kata putus.

"Kita tengah buat due deligence (kajian daya maju) nak tahu sejauh mana liabiliti yang ada di Kelantan FC. Kita kena tahu jumlah sebenar liabiliti tersebut dan perbincangan dengan peguam kita sedang berjalan.

"(Beli Kelantan) ini untuk perancangan jangka panjang dan saya kena buat dengan teliti. Saya dah hantar orang untuk tengok Kelantan FC dan lihat apa masalah sebenar pasukan itu,” ujarnya.