KUBANG PASU - Seorang remaja lelaki berketurunan Siam dari Kampung Lubok Sengkuang, Changlun di sini terpaksa melalui kesukaran hidup tanpa kad pengenalan diri dan hanya mampu bersekolah sehingga Tahun Enam sahaja.
Khathanak a/l Sayan, 19 berkata, disebabkan masalah itu juga dia tidak berpeluang mendapat pekerjaan yang lebih bagus seperti rakan-rakan yang lain.
Katanya, selepas tamat sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min di Changlun, dia hanya melakukan kerja-kerja kampung dan membantu ayahnya menoreh getah.
"Saya rasa sedih juga tengok kawan-kawan boleh kerja luar ( jauh dari kampung), tapi saya tak boleh.
"Pi mana pun saya bawa surat beranak saja, saya tak ada IC biru (kad pengenalan) macam adik-adik," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Selasa.
Bapanya, Sayan a/l Prak Sat berkata, dia mengakui masalah itu berpunca daripada kesilapan mereka ketika baru berkahwin apabila lambat mendaftar perkahwinan.
"Saya dan isteri, Sawitree Darasawang, 38, yang merupakan warganegara Thailand berkahwin pada 2003 di kampung ini mengikut kepercayaan Buddha.
"Namun disebabkan kejahilan kami dan beberapa masalah lain, kami hanya mendaftarkan perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2006," katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Menurutnya, dalam tempoh itu, Khathanak iaitu anak sulung mereka dilahirkan pada 2004 di Hospital Jitra.
"Namun disebabkan kami lambat mendaftar perkahwinan, surat beranaknya tertera perkataan 'Bukan warganegara' dan hingga ke hari ini Khathanak tidak memiliki kad pengenalan," katanya.
Sayan berkata, dua lagi anaknya iaitu Thawiwat dan Suphanit yang dilahirkan pada 2009 serta 2018 tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan taraf warganegara disebabkan perkahwinannya bersama Sawitree sudah didaftarkan pada waktu itu.
"Saya sudah mencuba pelbagai cara sehingga ditipu oleh orang yang kononnya mahu menolong saya, tetapi tidak ada hasil malah duit yang saya bayar pun lesap begitu saja," katanya.
Sayan menambah, dia sebelum ini pernah membuat dua kali permohonan tetapi permohonan kali pertama ditolak pada tahun 2013 tanpa alasan.
"Permohonan kedua pula dibuat pada 2018 tetapi sehingga kini masih belum dapat jawapan," katanya.
Menurut Sayan, sebagai bapa dia sangat risaukan nasib anak sulungnya itu apatah lagi jika Khathanak ingin mendirikan rumahtangga.
"Semasa kecil dia selalu ceritakan impian dia kepada saya, saya sedih sebab saya tahu tanpa kad pengenalan dia tidak dapat capai apa pun yang diinginkan.
"Sedangkan kerja sekarang pun gaji dia tidak seberapa, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun tidak boleh daftar," katanya.