JOHANNESBURG - Penguasaan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam kalangan negara-negara anggota BRICS akan berakhir, tegas Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Selasa.
Bercakap pada sidang kemuncak BRICS yang diadakan di sini, Putin memberitahu, pada pertemuan blok tersebut negara-negara anggota akan membincangkan peralihan perdagangan daripada dolar AS kepada mata wang kebangsaan.
Dalam masa sama, jelasnya, Bank Pembangunan Baharu BRICS akan memainkan peranan penting ke arah mencapai matlamat itu.
BRICS merupakan singkatan kepada nama-nama negara anggota gagasan itu iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Kesemua negara yang menganggotai BRICS mewakili lebih 40 peratus daripada penduduk dunia dan mereka bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik dan antarabangsa.
Bersempena dengan sidang kemuncak itu, kawalan keselamatan ditingkatkan di seluruh Johannesburg yang menyaksikan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menjadi hos kepada Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva selain 50 pemimpin antarabangsa lain.
Putin yang tidak dapat menghadiri sidang berkenaan secara fizikal kerana waran tangkap ke atasnya dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, berucap kepada pertemuan itu melalui video.
Beliau berkata, blok tersebut sedang dalam perjalanan untuk memenuhi aspirasi kebanyakan penduduk dunia.
"Kita berkerjasama berdasarkan prinsip kesaksamaan, sokongan rakan kongsi, menghormati kepentingan masing-masing dan ini adalah intipati strategik berorientasikan masa depan perkongsian kita, satu keperluan yang memenuhi aspirasi sebahagian besar masyarakat dunia, yang sering disebut majoriti global," ujar Putin lagi.
Ketika Putin menolak dolar, Presiden Brazil, Lula da Silva pula berkata, mata wang perdagangan BRICS yang sama akan diperkenalkan sepenuhnya untuk memudahkan perdagangan antara negara-negara sedang membangun.
"Kami tidak mahu menjadi lawan kepada (kumpulan) G7, G20, atau AS," kata Lula.
"Kami hanya ingin mengelola diri kami sendiri."
Lula turut menyatakan sokongan beliau terhadap penyertaan negara-negara lain dalam blok ini sambil mengumumkan Indonesia sebagai berpotensi menjadi anggota baharu BRICS.
Sidang kemuncak selama tiga hari itu akan mendengar banyak seruan untuk lebih banyak kerjasama ekonomi dan kolaborasi dalam bidang seperti kesihatan, pendidikan dan perubahan iklim - dalam masa sama diringi suara kebimbangan sebahagian daripada negara-negara membangun tidak mendapat perhatian oleh negara-negara Barat.
Bersempena dengan sidang itu juga, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengadakan perbincangan berasingan dengan Xi di Pretoria.
Ramaphosa memberitahu, Afrika Selatan dan Afrika menagih sokongan China untuk melakukan reformasi pada institusi kawalan global, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi /Awani