KOTA KINABALU - Rakyat ketika ini sudah penat berpolitik dan mereka mahu kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada pemulihan ekonomi serta pembangunan negara.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, negara kini sudah berada pada landskap politik yang baharu menerusi kerajaan Perpaduan yang diwujudkan.
"Saya yakin bahawa majoriti rakyat sekarang penat berpolitik dan mereka ingin sangat kerajaan negeri menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.
"Saya ingin menumpukan perhatian kepada tugas yang diberikan dan selaku Presiden PBRS saya selalu mengingatkan ahli-ahli, sekarang adalah masa untuk menunjukkan nilai kita kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Sesi Interaksi bersama pengamal media Sabah di sini pada malam Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran PBRS bersama Barisan Nasional (BN) selepas terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, dalam politik apa sahaja keadaan boleh berlaku.
"PRN akan datang di Sabah jika diikutkan tempoh penggal mungkin hampir dua tahun lagi.
"Kita sudah lihat situasi politik sekarang, apa saja boleh berlaku jadi apa saja ramalan kita buat sekarang mungkin akan berubah dalam masa yang singkat," katanya.