Insiden kad merah, jaringan batal patahkan semangat Penang FC

Iklan
Pemain KDA FC, Manuel Federico Hidalgo Gasparini (kanan) diasak pemain Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra’op pada pelawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya pada Selasa. - Foto Bernama

INSIDEN kad merah dan jaringan yang dibatalkan menyebabkan pasukan Penang FC kehilangan momentum dalam aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi.

Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt berkata, beliau kecewa dengan keputusan semalam kerana Skuad Harimau Kumbang pada mulanya menjangkakan dapat mengutip tiga mata pada perlawanan itu.

Iklan
Iklan

"Keputusannya tidak menyebelahi kami. Kami jangka dapat mengutip mata penuh seperti yang anda lihat pada separuh masa pertama perlawanan, kami banyak menguasai bola.

"Bagaimanapun, pada babak kedua kami dilayangkan kad merah dan jaringan pula dibatalkan menyebabkan kami kehilangan momentum,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu di Stadium Bandaraya di sini.

Iklan

Jaringan hasil tandukan Rafael Vitor pada minit ke-67 dibatalkan pengadil S. Logeswaran selepas mendapati Vitor menarik dan mengganggu pemain lawan, Bojan Ciger ketika membuat tandukan itu.

Skuad tuan rumah terus dilanda malang apabila Muhammad Adib Abdul Ra'op dibuang padang pada minit ke-76 susulan menerima kad kuning kedua apabila mengasari Manuel Hidalgo.

Iklan

Pada perlawanan semalam, KDA FC berjaya mencuri tiga mata penuh apabila menewaskan Penang FC 2-1 di hadapan hampir 3,000 penonton.

Sementara itu, Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain berkata, KDA dan Penang FC sentiasa menpamerkan aksi yang sengit dan beliau mengakui skuad kendaliannya mengalami kesukaran dalam perlawanan itu.

"Pada pandangan peribadi saya, keadaan padang yang keras dan tidak rata juga membuatkan kedua-dua pasukan tidak dapat menterjemahkan permainan sebenar di atas padang," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan KDA, yang berada di tempat ketiga dengan 43 mata selepas 20 perlawanan, merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kedua, Selangor FC yang kelebihan tiga mata selepas 21 perlawanan.

Penang FC kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata selepas 20 perlawanan. - Bernama