BILLIONAIR Qatar, Sheikh Jassim dilaporkan kian hampir untuk menyempurnakan pembelian Manchester United bernilai 6 bilion pound (RM35.58 bilion) menjelang Oktober depan.
Keluarga Diraja itu mengatasi saingan bilionair British, Sir Jim Ratcliffe yang sebelum itu sedia membenarkan keluarga Glazer mengekalkan pemilikan saham di Red Devils.
Difahamkan tarikh sudah ditetapkan dan pengumuman dijangka dibuat awal bulan depan.
Pasukan Sheikh Jassim ketika ini giat melengkapkan proses selanjutnya sebelum mereka menamatkan penguasaan 18 tahun keluarga Glazer.
Penyokong United pula berharap penjualan 100 peratus bagi melenyapkan 'legasi' pemilik dari Amerika Syarikat itu.
Keluarga Glazer dilaporkan masih mahu meneruskan pegangan saham tetapi diberi amaran oleh figura senior Old Trafford yang bimbang tindak balas penyokong.
Sheikh Jassim pula membuat tawaran untuk membayar hutang United berjumlah 725 juta pound (RM4.29 bilion) yang juga tertinggi sejak 2010.
Malah bilionair negara Teluk itu juga sedia menaik taraf Old Trafford dan pusat latihan Carrington selain meneruskan pelaburan dalam pasukan.
Pengambil alihan itu dijangka menoktahkan spekulasi berterusan selepas United diumum untuk dijual pada November lepas.