SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyampaikan Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB kepada 25 penerima yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2022 (SPM 2022), dalam satu majlis, baru-baru ini.
PNB dalam satu kenyataan berkata, kesemua 25 penerima biasiswa itu akan menjalani program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM).
"Setelah berjaya menamatkan A-Level, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang seperti kewangan, undang-undang, matematik, sains komputer dan kejuruteraan.
"Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB dianggap sebagai sebahagian daripada biasiswa paling berprestij di Malaysia selama lebih daripada dua dekad, memberi peluang kepada pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di United Kingdom dan Amerika Syarikat,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kesungguhan PNB untuk memartabatkan pendidikan dengan pemberian biasiswa diperakui di bawah salah satu daripada 10 komitmen ESG PNB iaitu Mengimbangi Keuntungan dan Pelaburan Sosial seperti dinyatakan di bawah Rangka Kerja Kelestarian PNB.
Beliau berkata, selain memperkukuh modal insan sendiri, PNB komited menyumbang kepada pembangunan bakat negara, menggambarkan komitmen kami terhadap pertumbuhan dan kemakmuran negara secara keseluruhan.
"Program-program kami untuk graduan muda dan mahasiswa bertujuan melengkapkan pemimpin masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran penting sebagai persiapan menjadi tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Ahmad Zulqarnain berkata, sejak 1996, lebih daripada 5,500 pelajar telah mendapat manfaat daripada sumbangan PNB yang berjumlah RM392.9 juta.
Sejak pelancaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB ini, PNB telah menganugerahkan biasiswa kepada 482 anak muda Malaysia yang layak.