BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 3,000 kilogram (kg) makanan haiwan yang dibawa masuk dari Itali tanpa permit import sah.
Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, konsainan makanan haiwan itu ditahan ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawainya di pintu masuk Dermaga Air Dalam di sini pada Selasa.
Iklan
Iklan
Menurutnya, makanan haiwan bernilai RM46,000 itu didapati dibawa masuk tanpa mempunyai permit import Maqis yang sah.
"Kesemua konsainan makanan haiwan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan makanan haiwan dari Itali adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, pihak yang bertanggungjawab dengan barang dagangan itu berdepan dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, Muhammad Ikram berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan agromakanan negara.