KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melalui Seksyen Integritinya sentiasa memantau perlakuan kakitangan yang berurusan dengan rakan niaga supaya mereka tidak melanggar integriti dalam organisasi itu.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pemantauan secara serius bukan sahaja berkaitan gejala rasuah tetapi juga salah laku dan disiplin kakitangannya.
"Setakat ini, kita belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung salah laku membabitkan kakitangan termasuk meminta atau menerima rasuah.
"Jika ada aduan, pihak kita melalui Seksyen Integriti MBK akan mengadakan siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum itu, MBK melalui platform media sosial rasminya menaikan poster 'Jangan beri, Jangan Terima Rasuah' selain memaklumkan 'Integriti - kami mengamalkan standard integriti tertinggi.'
Satu hantaran lain turut dimuat naik berbunyi 'memberi atau menerima rasuah bukan budaya kami!'
Mengulas lanjut, Norkamawati menjelaskan, ini merupakan salah satu bentuk promosi bagi memberi kesedaran kepada kakitangan dan rakan niaga berkaitan dasar pengurusan rasuah di MBK.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan sebarang kesalahan jenayah, rasuah, salah guna kuasa, gangguan seksual mahu pun kelakuan tidak wajar oleh kakitangannya.