IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas lebih 5,000 kilogram (kg) gula dan 300 kg minyak masak bernilai lebih RM18,000 di sebuah premis perniagaan yang menjual barang kawalan itu tanpa lesen di Taman Kurau Mutiara dekat Batu Kurau semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pasukan daripada KPDN Cawangan Taiping menyerbu premis itu pada 10 pagi dan mendapati peniaga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia berkaitan urus niaga barang kawalan.
Iklan
Iklan
"Hasil serbuan mendapati peniaga tersebut sedang menjalankan urus niaga barang kawalan iaitu gula dan minyak masak.
"Sehubungan itu, sejumlah 5,414 kg gula serta 343 kg minyak masak polibeg 1 kg, minyak masak sawit tulen bagi 2 dan 5 kg telah disita di premis terbabit yang dianggarkan bernilai RM18,618," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi perseorangan, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan urus niaga atau apa-apa aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa terlebih dahulu mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia. - Bernama
Artikel Berkaitan